BANDA HILIR, 11 Julai - Laporan mengenai tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember lalu sudah disiapkan, namun belum dapat dibentang kepada Jemaah Menteri kerana masih menunggu ulasan daripada kerajaan negeri Selangor.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laporan daripada kerajaan negeri diperlukan, memandangkan Jalan Batang Kali adalah terletak dalam kategori jalan negeri.
Selain itu, pihaknya masih menunggu laporan dan pandangan agensi terlibat sebelum ia dapat dibentangkan kepada Kabinet secepat mungkin.
“Laporan sudah siap tapi belum dikemukakan kepada mesyuarat Jemaah Menteri. Di peringkat JKR kita sudah buat kerja kita dan majukan kepada agensi-agensi lain serta berharap mereka dapat siapkan ulasan secepat mungkin.
"Jalan Batang Kali itu dalam kategori jalan negeri jadi apa-apapun kerajaan negeri Selangor juga ada laporan mengenainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR 2023, di sini.
Tragedi yang berlaku pada pagi 16 Disember lalu melibatkan 92 mangsa dengan 31 terkorban, manakala 61 terselamat di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali, Selangor.