fb fb fb fb fb

Laporan siasatan awal kemalangan FRU dibentang ke kabinet minggu depan

Anthony Loke/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Jun- Laporan siasatan awal kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada bulan lalu di Teluk Intan, Perak akan dibentangkan ke Kabinet pada minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tempoh 30 hari yang diberikan kepada pegawai penyiasat khas bermula 15 Mei lalu untuk menyiasat nahas terbabit hampir tamat.

"Laporan daripada pasukan petugas khas akan dibentangkan pada post-cap minggu depan sebab kita bagi mereka 30 hari. Saya akan bentangkan terlebih dahulu kepada Jemaah Menteri sebelum kita buat langkah seterusnya," jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas di sini.

Pada 15 Mei lalu, sebuah trak FRU dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami terlibat kemalangan dengan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam.

Sembilan anggota FRU daripada Unit 5 Ipoh maut dalam nahas terbabit.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI