KUALA LUMPUR, 3 Julai - Laporan penuh berhubung insiden tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India dijangka akan dibentang kepada Jemaah Menteri menjelang hujung tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya sedang meneliti laporan berkenaan.
"Saya sebenarnya baharu menerima laporan penuh dan kita sedang teliti lagi perkara-perkara yang melibatkan khususnya kenapa lubang jerlus itu berlaku dan lepas itu.
"Insya-Allah, setelah itu saya akan bentangkan ke Jemaah Menteri. Jangkaan, saya harap sebelum akhir tahun ini", katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Cheras.
Pada Ogos tahun lepas, seorang mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy yang berasal dari India hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berkenaan membabitkan pelbagai agensi keselamatan, namun gagal menemukan mangsa.