KUALA LUMPUR, 3 Julai - Seramai 500 murid sekolah rendah di Wilayah Persekutuan bakal menerima manfaat menerusi siri kedua Program Mata Hati Wilayah 2025.
Program itu menyediakan saringan penglihatan dan bantuan cermin mata percuma khusus untuk murid darjah satu daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, kajian mendapati murid daripada keluarga B40 yang mengalami masalah penglihatan berisiko mempunyai prestasi akademik yang lemah.
Katanya, program tersebut memberi keutamaan kepada sekolah yang majoriti muridnya dalam kalangan keluarga B40.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Cheras, hari ini.
Program dilaksana dengan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Komuniti Negara.
Memasuki tahun kedua, program intervensi awal itu melibatkan lima sekolah rendah sekitar Wilayah Persekutuan iaitu Sekolah Kebangsaan Tun Hussein Onn, Sekolah Kebangsaan Jalan Bellamy, Sekolah Kebangsaan Seri Mega, Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala dan Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara.
Kejayaan pelaksanaan program tahun lalu, turut mendorong perbincangan yang akan dilakukan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi usaha perluasan program ke peringkat nasional.