KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Malaysia terus memperkukuh peranan kepimpinannya dalam kerjasama perundangan serantau menerusi penganjuran ASEAN Law Forum 2025 yang bakal berlangsung selama tiga hari pada 19 hingga 21 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Forum berprestij anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Kehakiman Jepun dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) tersebut bakal menghimpunkan lebih 300 peserta, termasuk Menteri Undang-Undang ASEAN, wakil organisasi antarabangsa, ahli akademik, pengamal undang-undang dan orang awam tempatan serta antarabangsa.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Zamri Misman berkata agenda penting forum tersebut ialah pengumuman bersama melibatkan semua Menteri Undang-Undang ASEAN.
“Keistimewaan forum kali ini adalah satu kenyataan bersama yang akan dipersetujui oleh semua Menteri Undang-Undang ASEAN. Ia memberi fokus kepada pengukuhan elemen pengantaraan dan timbang tara, agar pertikaian dalam perniagaan dan perdagangan dapat diselesaikan secara aman dan berkesan,” jelas beliau selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Forum bertemakan "Enhancing Access To Justice in the ASEAN Economic Community: Bridging Legal Cooperation for Inclusive Growth in the Digital Age", menekankan kepentingan akses kepada keadilan, penyelarasan piawaian timbang tara serantau serta penggunaan teknologi dalam landskap undang-undang moden.
ASEAN Law Forum 2025 turut menjadi platform perbincangan berkaitan pengantaraan, timbang tara, kecerdasan buatan (AI) dan undang-undang perdagangan rentas sempadan, sejajar dengan amalan terbaik global seperti UNCITRAL Model Law dan Konvensyen New York.
Kerjasama strategik dengan Jepun turut diperkukuh melalui siri rundingan ASLOM-Japan Consultations, termasuk penglibatan dalam Mesyuarat Menteri Kehakiman ASEAN–Jepun (AJSMJ) dan perbincangan penting berkaitan Perjanjian Ekstradisi ASEAN dan penyelarasan undang-undang perdagangan.
Forum ini juga selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, iaitu 'Keterangkuman dan Kemampanan' serta mendorong kepada pembaharuan timbang tara serantau sebagai asas kepada keadilan, pelaburan dan pembangunan ekonomi inklusif.
ASEAN Law Forum 2025 dijangka merumuskan hala tuju baharu bagi sistem timbang tara ASEAN, menjadikannya lebih selari dengan standard antarabangsa sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi rantau ini dalam era digital global.