JOHOR BAHRU, 4 Ogos- Laporan kajian forensik oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) terhadap blok dua dan tiga Rumah Pangsa Taman Jaya, Skudai, Johor bagi menentukan sama ada bangunan itu selamat didiami atau tidak dijangka siap November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata kajian dijalankan kerana kerosakan struktur dikesan di blok berkenaan susulan terdapat serpihan batu jatuh daripada siling unit rumah.
"Isu mendapan tanah turut dikesan di kawasan rumah pangsa itu, manakala masalah struktur bertambah buruk selepas banjir pada tahun 2005.
"Kajian IKRAM melibatkan struktur atas tanah dan bawah tanah, selain menjalankan kerja mengorek sehingga ke lapisan keras bagi melihat struktur rumah itu.
"IKRAM juga akan menjalankan ujian kerintangan bagi mengenal pasti kehadiran air di dalam tanah di kawasan itu, selain menguji sampel konkrit pada rekahan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, blok empat di rumah pangsa itu diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki susulan kerosakan struktur pada bahagian bawah bangunan.
Isu keadaan blok dua dan tiga telah dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri Johor.
(Isu keadaan blok dua dan tiga telah dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri Johor.)