CHANGLUN, 25 Oktober -Lapan sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak diselamatkan selepas terperangkap dalam sebuah dusun yang dinaiki air akibat limpahan sungai di Kampung Wang Perah, malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, mangsa terdiri daripada empat lelaki dewasa, tiga wanita dan seorang kanak-kanak berusia lingkungan 10 hingga 12 tahun.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.11 malam, sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam digerakkan ke lokasi kejadian dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Setibanya di lokasi, kawasan berkenaan didapati dinaiki air dan jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan dusun berkenaan.
Anggota bomba kemudian menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi dan berjaya menemui kesemua mangsa yang merupakan warga tempatan," katanya.
Mereka dibawa keluar dengan bantuan tali bagi menyeberangi anak sungai yang dipenuhi air sebelum dibawa ke kawasan selamat.
Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada pukul 10.32 malam.