fb fb fb fb fb

Pekebun maut dalam kemalangan di Dungun

Lokasi nahas yang mengorbankan mangsa, Ibrahim Daud, 47 tahun

DUNGUN, 25 Oktober -Seorang pekebun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Al-Muktafi Billah Shah–Bandar Paka, petang semalam.

Kejadian berlaku berhampiran tapak pertandingan memancing di kawasan Bandar Ketengah Jaya kira-kira pukul 6.45 petang.

Mangsa, Ibrahim Daud, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Kerteh Enam selepas selesai bekerja di ladang kelapa sawit miliknya.

Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak sebuah kereta dari arah bertentangan yang sedang membelok masuk ke kolam memancing berdekatan.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN