fb fb fb fb fb

Lapan Pusat Hemodialisis Felda siap, mula operasi Julai depan

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

KEMAMAN, 16 Jun - Lapan daripada 13 Pusat Hemodialisis Felda (PHF) yang dibina di wilayah Felda seluruh negara bagi kegunaan rawatan pesakit buah pinggang telah disiapkan dan dijangka akan mula beroperasi Julai depan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, baki PHF lain sedang dalam pembinaan dan dijangka dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini.

PHF merupakan inisiatif kesejahteraan komuniti peneroka tanah rancangan yang diilham oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dengan adanya di sini dapat memenuhi keperluan beberapa pesakit yang sudah ada di sekitar kerteh ini dan ia sangat membantu penduduk di sini yang mengalami penyakit ini. Kos rawatan adalah kos yang minimum. Yayasan Felda akan berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak untuk membiayai setiap pesakit itu," katanya.

Datuk Seri Ahmad Shabery berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Pra-Pelaksanaan Pusat Hemodialisis di Felda Kerteh 5, di sini.

Setiap PHF akan dilengkapi sekurang-kurangnya enam buah mesin dialisis bagi menampung hingga 36 pesakit pada satu-satu masa, secara berjadual.
 
Datuk Seri Ahmad Shabery berkata, PHF juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap hospital yang sering mengalami kekangan kapasiti selain mengurangkan kos perjalanan pesakit yang tinggal di kawasan Felda.
 
Pada program itu, Datuk Seri Ahmad Shabery melakukan tinjauan di pusat hemodialisis berkenaan yang dilengkapi enam mesin dialisis dan bilik rawatan.
 
Kos pembinaan pusat hemodialisis Felda Kerteh 5 itu menelan belanja kira-kira RM500,000 dan dijangka beroperasi bulan bulan depan.
 

TETITIA YUSOFF