SHAH ALAM, 14 Jun - Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025 buat julung kalinya akan diadakan di Semenanjung 28 Jun ini bakal menarik lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Penganjur Michael Oridecth Dures berkata, acara anjuran MOD Solutions Enterprise dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu, merupakan usaha memperkenalkan budaya etnik Dayak dari Borneo kepada orang ramai.
"Tujuan utama kami mengadakan acara ini sebagai 'Gawai Kitai', ‘Kitai’ bermaksud ‘Kita’. ‘Gawai’ pula membawa maksud perayaan. Jadi secara asasnya, ini merupakan satu perayaan untuk semua tidak kira bangsa, sama ada Cina, Melayu, Iban, Kayan dan lain-lain, semua berkumpul bersama sebagai rakyat Sarawak.
"Sebagai anak Sarawak, kami berbangga kerana negeri ini mempunyai begitu banyak kumpulan etnik yang berbeza. Ramai juga dari Semenanjung mahupun warga asing yang kurang mengetahui atau kurang fasih dengan kepelbagaian etnik di Sarawak. Jadi, ini juga sebahagian daripada usaha promosi kami," kata Michael kepada pemberita dalam sidang media, di sini.
Bertemakan "Merayakan Budaya, Menyatukan Komuniti" acara bersejarah tersebut menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan tradisional, pameran kraftangan serta makanan etnik masyarakat Dayak.
Acara yang akan berlangsung di D'Network@Setia Eco Lake, Shah Alam itu bukan sahaja dapat memeriahkan sambutan Gawai, malah menjadi platform menyemai kefahaman dan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Kita turut mengadakan bengkel permainan sape kerana kini alat muzik tradisional ini semakin popular dalam kalangan anak muda. Bukan setakat bengkel sape sahaja kita juga ada bengkel tarian tradisional seperti tarian Iban, tarian Orang Ulu, dan tarian Bidayuh. Setiap kumpulan etnik mempunyai tarian dan gaya persembahan yang berbeza,” tambahnya.