fb fb fb fb fb

Lapan kertas kerja dipertimbang, empat kertas untuk kelulusan - JKSMN

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN)

PUTRAJAYA, 25 Oktober - Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) hari ini mempertimbangkan lapan kertas kerja melibatkan empat kertas untuk kelulusan dan empat kertas makluman.

Sesi mesyuarat itu mengetengahkan hasrat kerajaan memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan makanan negara selamat dan mencukupi.

JKSMN kali ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusoff; turut berperanan merangka dasar dan strategi sekuriti makanan lebih berdaya saing dan mampan.

Turut diberi tumpuan adalah memperkasakan sekuriti makanan negara menerusi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi seperti pelaksanaan Projek Industri Tenusu Negara melalui
Projek Pembangunan Ladang Tenusu Integrasi di Chuping, Perlis serta Cadangan Pelaksanaan Pembajaan dan Pembekalan Baja Bio dan Organik bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan (KPKM) Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, pelbagai pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan sedang giat dilaksanakan.

Khususnya dalam bidang teknologi, pemodenan, rantaian nilai agromakanan antaranya menerusi Strategi Pembangunan Industri Nanas dengan penyusunan semula sistem galakan pasaran eksport sedia ada untuk memupuk kecekapan dan daya saing lebih tinggi.

"KPKM berhasrat untuk memperluas skop Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan turut mengetengahkan komoditi bernilai tinggi seperti kelapa dan durian dalam usaha meningkatkan produktiviti komoditi bernilai tinggi.

"Melalui inisiatif ini, ia dijangka membantu mengurangkan defisit perdagangan di samping memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi variasi benih penanaman dalam negara, meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik," katanya.

Mohamad berkata, JKSMN merupakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sekuriti makanan negara ke arah peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan, potensi teknologi pertanian sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah, Menteri-Menteri, Timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha serta Gabenor Bank Negara.

TETITIA YUSOFF