fb fb fb fb fb

Hab pusat data, Malaysia mampu jadi 'Harimau Digital Asia'

Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 25 Oktober- Malaysia berpotensi menjadi 'Harimau Digital Asia' menerusi peningkatan pelaburan dan kerjasama syarikat terkemuka asing.

Usaha itu sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hab data besar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata keyakinan itu bersandarkan kepantasan negara menjadi destinasi pelaburan serantau dan peningkatan dalam perbelanjaan infrastruktur digital termasuk stesen pendaratan kabel, kabel dasar laut yang lebih banyak, 5G dan sambungan gentian optik yang lebih baik.

"Pasaran pusat data Malaysia dijangka melepasi AS$2 bilion dolar (RM9.57 bilion) menjelang tahun 2027, yang merupakan bukti kepada pertumbuhan pesat dan potensinya untuk mengatasi kadar pertumbuhan 47 peratus bagi seluruh Asia Tenggara."

"Setiap RM1 bilion yang dilaburkan dalam pusat data, ia berpotensi mencipta peningkatan sebanyak RM400 juta hingga RM500 juta dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," kata Teo kepada pemberita ketika Majlis Pecah Tanah Pusat Data Infinaxis, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Najihah Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz.

Jelasnya, industri digital bakal mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan selain limpahan ekonomi yang memberi faedah kepada industri berkaitan pusat data, tenaga boleh diperbaharui dan kontrak untuk membina lebih banyak kabel dasar laut di Malaysia.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, lebih RM2.84 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menyokong sektor ekonomi digital negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM