LANGKAWI, 27 Oktober - Kejayaan Langkawi tersenarai sebagai pulau kedua terbaik Asia dalam senarai Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025 oleh portal pelancongan berprestij Conde Nast Traveler menjadi pemangkin kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk terus memperkukuh usaha mengekalkan status itu di peta pelancongan antarabangsa.
Kejayaan itu meletakkan Langkawi mengatasi beberapa destinasi terkenal seperti Bali, Indonesia yang berada di tempat keenam dan Phuket, Thailand di kedudukan kesembilan.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus, berkata pelbagai inisiatif akan dirangka bagi mengekalkan kedudukan itu dan seterusnya mencapai sasaran menjadi destinasi nombor satu asia.
“Segala kekurangan itu kita akan atasi untuk bersedia menjadi nombor satu. Saya juga ingin tahu daripada pengunjung-pengunjung Langkawi, apakah faktor yang boleh menjadikan Langkawi nombor satu, itu nanti akan menjadi penanda aras,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Geopark Ikon 2025 di sini.
Pada majlis itu, seramai 24 individu dilantik sebagai Geopark Ikon baharu bagi tahun 2025-2027 yang mewakili pelbagai latar belakang bagi memartabatkan nama Langkawi sebagai destinasi pelancongan unggul.
Selain itu, sebanyak 32 sekolah di Langkawi turut diiktiraf sebagai sekolah angkat rasmi Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) melalui kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi.
Usaha itu dilihat sebagai wadah untuk menyampaikan mesej kelestarian serta memperkukuh imej Langkawi sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia.