fb fb fb fb fb

Langkawi tawar Pakej Pelancongan Rahmah serendah RM500

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man ditemui media selepas melancarkan pakej ‘Refreshing Langkawi 99 Magical Island: Vibes and Healing’

LANGKAWI, 24 Julai – Pakej Pelancongan Rahmah serendah RM500 bagi penginapan tiga hari dua malam dilancarkan di Langkawi, sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong domestik ke pulau peranginan itu.

Pakej berharga mampu milik itu diperkenalkan Tourism Malaysia Wilayah Utara dengan kerjasama pengusaha pelancongan tempatan dan berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man, berkata inisiatif itu merupakan langkah strategik bagi menjadikan Langkawi destinasi pilihan pelancong tempatan, sejajar Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Antara tarikan utama ialah lawatan menaiki jet ski ke beberapa pulau dan pantai ‘rahsia’ yang jarang diketahui ramai, sekali gus menawarkan pengalaman eksklusif dengan harga bermula RM500,” katanya selepas melancarkan pakej ‘Refreshing Langkawi 99 Magical Island: Vibes and Healing’.

Beliau berkata pendekatan baharu yang lebih santai, menenangkan dan mesra bajet itu mampu mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE