fb fb fb fb fb

Langkah pendekkan tempoh pengajian kurangkan beban pelajar

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Keputusan memendekkan tempoh pengajian 44 program di sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada empat tahun kepada tiga, mendapat reaksi positif mahasiswa.

Mereka menyifatkannya sangat baik dan relevan untuk dilaksanakan.

"Perkara ini sememangnya satu idea yang baik untuk negara kita kerana pada masa yang sama di peringkat institusi pengajian tinggi ataupun univerisiti mereka juga boleh berjimat apabila tempoh pengajian dipendekkan," kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia, Afirul Idris Ayub Khan.

"Kurangkan beban pelajar atau famili pelajar tersebut kerana dengan tiga tahun pengajian, hutang yang akan ditanggung pelajar juga semakin kurang. Hal ini mampu menarik minat pelajar yang lebih ramai untuk menyambung belajar di IPTA," ujar Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia, Fatin Amirah Mohd Hisham.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman pula berkata perlu ada sinergi antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan pihak industri untuk sentiasa mengemas kini program yang ditawarkan IPT di seluruh negara.

"Kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara yang baik dan menjamin kualiti setiap siswazah yang bakal dilahirkan," katanya.


(Langkah pendekkan tempoh pengajian kurangkan beban pelajar)




Media Baharu