fb fb fb fb fb

Langkah mitigasi tarik minat pekerja komponen teknikal, mekanikal - Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA, 5 September - Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu melaksana langkah mitigasi bagi mengisi kekosongan tenaga kerja mahir membabitkan komponen teknikal dan mekanikal.

Ini termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha menarik minat lebih ramai pekerja mahir baharu termasuk dalam bidang penyelenggaraan pesawat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, MOT melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat pemantauan dan meminta syarikat penerbangan itu untuk menghantar laporan bulanan.

"Itu ialah kakitangan Malaysia Airlines, jadi mereka sudah tentu ada pelan mitigasi untuk mengisi kekosongan dan mendapatkan gantian kepada kakitangan teknikal tersebut. Dan perlu dilakukan dan kita di peringkat kementerian pengangkutan perlu pantau seperti CAAM telah mewajibkan pihak Malaysia Airlines untuk menghantar laporan bulanan pelan mitigasi mereka supaya dapat diketahui.

"Kalau kita lihat dalam konteks yang positif, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi. Jadi syarikat-syarikat penerbangan kita kena kejar untuk pastikan program latihan mereka dapat diperbanyakkan, diperhebatkan dan mereka juga menawarkan pakej-pakej pekerjaan yang setimpal kepada kakitangan mereka," kata Loke.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB), di sini.

Terdahulu, CAAM mendapati 63 orang daripada 411 pekerja Malaysia Airines Berhad Engineering Services (MABES) yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan telah berhenti dan berhijrah ke tempat lain.

Dalam pada itu Loke berkata, levi karbon bukan caj mandatori sebaliknya merupakan pilihan dan dikutip bergantung kepada syarikat penerbangan masing-masing.

Beliau menjelaskan kerajaan membenarkan levi karbon tersebut dikenakan bagaimanapun ia bukanlah caj mandatori.

Tambahnya, levi karbon yang dikenakan syarikat penerbangan bertujuan mengimbangi pelepasan karbon pesawat selaras usaha memenuhi komitmen bawah Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antabangsa (CORSIA).

"Ada syarikat penerbangan merasakan bahawa kalau mereka mahu ke arah CORSIA, kos yang perlu ditanggung sangat tinggi, jadi dia nak mulakan ada levi kepada karbon ataupun caj karbon ini kepada penumpang. Tetapi ia akan mulakan dengan satu kadar yang sangat-sangat rendah tetapi saya nak perjelaskan itu bukannya wajib yang diwajibkan kerajaan ataupun kementerian pengangkutan.

"Apa yang kita telah buat dalam kita punya kod perlindungan pengguna adalah sekiranya ada syarikat penerbangan mengutip caj karbon itu. Maka proses bayaran balik itu juga mesti dia bayar balik karbon caj yang mereka kutip itu. Jadi itu yang kita telah buat supaya pastikan apa yang mereka kutip mesti ada satu ketelusan," katanya.

TETITIA YUSOFF