VLADIVOSTOK, 5 September- Perdana Menteri menyifatkan kebangkitan negara-negara selatan sebagai tanda konfigurasi semula pengaruh peringkat global.
Menerusi ucaptama pada Plenari Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF 2024) di Vladivostok, Rusia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara rantau selatan memainkan peranan penting untuk membentuk semula masa depan ekonomi dunia.
"Dalam hal ini, kebangkitan negara-negara selatan tidak bermakna sekadar peralihan kuasa ekonomi, tetapi konfigurasi semula pengaruh global. Ia merangkumi negara di seluruh Asia, Afrika dan Amerika Latin, negara-negara selatan berada di trajektori memainkan peranan penting dalam membentuk semula masa depan dunia ekonomi.
Kebangkitan negara-negara rantau itu secara realitinya memberikan cabaran dan pada sama masa turut membuka peluang baharu.
Justeru, menurut Perdana Menteri adalah penting untuk Malaysia membina hubungan yang kukuh dalam berkongsi pertumbuhan dan menyumbang kepada kerjasama persekitaran global yang lebih seimbang.
"Dalam hal ini, Malaysia sedang giat menerokai peluang-peluang di Selatan Global dan menyertai negara rantau yang berusaha untuk mencipta paradigma pembangunan baharu yang lebih inklusif, saksama, mampan dan berdaya tahan", katanya.