fb fb fb fb fb

MADB, sasaran karbon sifar bersih sektor penerbangan 2050

Majlis Perasmian Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB) di Putrajaya

PUTRAJAYA, 5 September - Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB) dilancarkan hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, MADB akan menjadi rujukan kepada pihak berkepentingan di Malaysia kearah mencapai sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050 dalam sektor penerbangan.

Jelasnya, MADB juga menetapkan sasaran penyahkarbonan daripada sektor penerbangan mengikut empat kategori langkah mitigasi ditetapkan iaitu teknologi pesawat, penambahbaikan operasi, penggunaan 'Sustainable Aviation Fuel' (SAF) dan mengimbangi karbon.

"Setiap pesawat yang terbang sudah tentu ada carbon emission yang besar dan ini merupakan penyumbang kepada pelepasan karbon yang besar. Jadi usaha untuk mengurangkan pelepasan ini mesti bermula daripada sekarang walaupun sasarannya menjelang tahun 2050 tetapi usaha mesti berterusan.

"Dalam pelan tindakan itu, peranan masing-masing, dasar kerajaan dan strategi kita nak capai sasaran itu. Semua itu dibukukan dan dilaporkan dalam 'blueprint' kali pertama MOT buat inisiatif ini untuk kita pastikan kita ada kerangka yang jelas supaya pihak berkepentingan faham peranan mereka masing-masing", katanya pada sidang media selepas Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB), di sini.

Anthony memaklumkan sebelum ini tiada polisi khusus berkaitan 'green aviation; di Malaysia yang dapat memberi panduan kepada sektor penerbangan bagi memenuhi komitmen negara mencapai sasaran karbon sifar bersih pada tahun 2050 untuk penerbangan antarabangsa.

Sehubungan itu, pembangunan polisi dan sasaran yang jelas seumpama itu penting bagi membolehkan semua langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan syarikat penerbangan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan dan efektif.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

TETITIA YUSOFF