(FOTO JPJ KEDAH)
ALOR SETAR, 17 Oktober- Pengendali sebuah bas sekolah berhadapan hukuman denda sehingga RM500,000 selepas didapati melanggar syarat permit lesen pengendali.
Bas tersebut ditahan anggota penguatkuasa daripada Unit Aman Khas dan Unit Penguatkuasaan Bermotorsikal Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Plaza Tol Hutan Kampung.
Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata ketika ditahan, bas berkenaan yang membawa 36 penumpang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis ke Batu Kurau, Perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati, lesen pengendali yang telah diluluskan bagi pengoperasian sebagai bas sekolah. Namun pengusaha bas berkenaan telah menjalankan sebagai perkhidmatan bas ekspres tanpa sebarang kelulusan lesen pengendali sementara (LPS) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),"katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tindakan telah diambil dibawah Seksyen 22 (3) Akta Pengangkutan Awam Darat dimana jika sabit kesalahan denda tidak kurang daripada RM1,000.00 dan tidak lebih daripada RM500,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim)