fb fb fb fb fb

UPM rai warga emas pupuk kesepaduan intergenerasi

(Antara Pengunjung yang menyertai forum dalam Karnival Kesepaduan Intergenerasi
ke arah Masyarakat 5.0.)

SERDANG, 17 Oktober - Karnival Kesepaduan Intergenerasi ke arah Masyarakat 5.0 buat julung kalinya diadakan, bagi meraikan warga emas dan merapatkan hubungan bersama-sama generasi
muda.

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Halimatus Sakdiah Minhat berkata karnival itu disertai hampir 500 orang komuniti setempat pelbagai peringkat usia dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai isu, cabaran dan peluang penuaan penduduk serta persediaan alam persaraan.

"Melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan secara tidak langsung membantu untuk merapatkan hubungan antara generasi muda dan tua dalam konteks masyarakat MADANI selain mempromosi kesejahteraan warga emas dan isi rumah.

"Selain itu, penglibatan semua pihak dapat mengelakkan warga emas daripada berasa tersisih dalam aktiviti masyarakat serta memerangi diskriminasi umur dan sterotaip negatif terhadap warga emas," kata Dr. Halimatus menerusi satu kenyataan.

Tambahnya Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030 dan pihaknya menawarkan pakej latihan warga emas kepada organisasi dan individu berminat dalam melatih sumber manusia pelbagai peringkat.

(Warga emas menyertai aktiviti senamrobik pada Karnival Kesepaduan Intergenerasi
ke arah Masyarakat 5.0 di UPM)

Sementara itu, Pengerusi Program Profesor Madya Dr. Michael Ling meluahkan rasa gembira melihat kehadiran pengunjung dan penglibatan semua masyarakat bagi
meningkatkan ilmu berkenaan warga emas.

"Di sini kita turut menyediakan suit yang memberi peluang kepada pengunjung merasai perubahan fizikal apabila tua seperti mata semakin kabur, sakit tulang belakang dan sebagainya," katanya.

Seorang warga emas dari Seremban, Iftkhar Ahmad Abdul Haq, 64, meluahkan rasa seronok menyertai karnival ini kerana berpeluang bertemu rakan lain.

"Program seperti ini sebagai galakan kepada golongan seperti saya berkumpul bersama dan mengisi masa. Di samping itu, program saringan kesihatan di sini juga dapat memantau kesihatan pengunjung seperti tekanan darah dan sebagainya," kata Iftkhar.

Sambutan Hari Warga Emas di Malaysia disambut pada setiap 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Kebangsaan sejak 1992 sebagai mengiktiraf sumbangan, jasa dan khidmat bakti golongan warga emas kepada negara.

Media Baharu