fb fb fb fb fb

Laksana subsidi bahan api bersasar dan pemahaman rakyat perlu seimbang

KUALA LUMPUR, 12 Januari - Keperluan melaksanakan subsidi bahan api bersasar perlu diimbangi dengan usaha mendidik rakyat menjadi pengguna yang matang, rasional serta tidak bergantung kepada subsidi semata-mata.

Pemerhati Industri Automotif, Hezeri Hisham Samsuri menjelaskan rakyat harus diberi pemahaman bahawa bahan api adalah sumber yang mengalami penyusutan jika tidak diselia dengan baik dan saksama.

Pemahaman itu secara tidak langsung dapat membina rantaian komuniti yang bijak mencari serta menggunakan alternatif baharu bagi menjimatkan sumber bahan api.

Pada masa sama, bersama-sama membangunkan ekonomi negara menerusi sumber dan sektor lain yang bersesuaian dengan perkembangan arus perdana.

"Subsidi ini memang perlu dan semua negara ada memberikan subsidi, pelbagai jenis subsidi, tetapi kebanyakan yang bersasarlah. Subsidi bahan api untuk kita senagai negara pengeluar bahan api ini memang sesuatu yang memang kita jangka daripada kerajaan untuk diberikan kepada rakyat.

"Cuma, rakyat kena fahamlah semua org perlu difahamkan bahawa sumber bahan api ini adalah sumber yang semakin lama, semakin berkurangan. Jadi, kita perlu uruskan kan perkata ini dengan baik supaya akhir nanti, apabila bahan itu sudah tiada,negara kita boleh hidup tanpa subsidi bahan api," kata Hezeri Hisham di sini.

"Sebab kita boleh lihat sendiri, pengeluar bahan api, pengeluar minyak, negara-negara pengeluar minyak yang besar seperti Arab Saudi, mereka pun dah mula 'diversify' diorang sudah mula mahu cari duit daripada sumber lain, bukan bahan api sahaja. Jadu, kita kena faham yang itu," katanya.

(Hezeri Hisham ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1
yang bersiaran secara langsung dari Wisma Berita, Angkasapuri)

Dalam pada itu, kajian teliti dan mendalam perlu dilakukan sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

"Semua subsidi akan membebankan tetapi bebanan itu kurang sekiranya kita ada objektif dan objektif itu tercapai. Bermakna kita kena melabur sekarang dengan subsidi-subsidi itu untuk menyediakan rakyat agar mereka boleh hidup tanpa subsidi dan apabila objektif itu tercapai semestinya negara akan dapat menggunakan duit itu untuk sumber-sumber lain. Kita memang perlu labur untuk banyak benda. Kita boleh lihat Arab Saudi sekarang ini melabur banyak untuk pelancongan," katanya lagi.

Media Baharu