Lafaz cerai Argentina kalah: Kategori talak sarih, tidak perlu niat – JAKIM

Foto hiasan / BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Julai – Tindakan seorang suami yang tular menceraikan isterinya jika pasukan Argentina tewas kepada Sepanyol dalam aksi final Piala Dunia 2026, dikategorikan sebagai talak ta’liq iaitu talak yang digantung dengan sesuatu syarat kerana perceraian dikaitkan dengan peristiwa yang akan berlaku pada masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAKIM menyifatkan lafaz cerai bersyarat sebagai talak ta'liq, iaitu talak yang digantung dengan syarat.
  • Lafaz yang jelas dianggap lafaz sarih talak yang digantung dengan ta'liq.
  • Apabila syarat berlaku, kesan hukum perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan menurut syarak dan undang-undang.
  • Menurut mazhab Syafie lafaz sarih tidak memerlukan niat; pasangan diminta segera mendapatkan pengesahan di Mahkamah Syariah.

Cawangan Kajian Syariah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kenyataan menjelaskan sekiranya suami melafazkan perkataan talak dengan jelas maka, lafaz tersebut dianggap lafaz sarih talak (lafaz yang terang dan nyata) yang digantung dengan ta’liq (syarat).

“Apabila syarat ditetapkan benar-benar berlaku iaitu Argentina kalah dalam perlawanan akhir Piala Dunia, kesan hukum lafaz ta’liq itu hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk pengesahan menurut hukum syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

JAKIM turut memaklumkan menurut mazhab Syafie, lafaz sarih tidak memerlukan niat.

“Lafaz talak bukanlah perkara yang boleh dipermain-mainkan.

“Justeru, pasangan tersebut diminta segera mendapatkan pengesahan lafaz ta’liq berkenaan di Mahkamah Syariah dekat tempat pasangan tersebut bermastautin,” tegas JAKIM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.