
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Setiausaha dan bendahari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.
- Disyaki terbabit pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan wang pertubuhan di tempat kerja.
- Sejumlah RM5 juta dikaitkan dengan aktiviti untuk kepentingan peribadi termasuk menerima, memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang haram.
- Siasatan awal mendapati mereka bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2021 hingga 2023.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 dan suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam 29 Julai.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad mengesahkan, kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan wang pertubuhan di tempat kerja.
“Sejumlah RM5 juta berkait dengan kegiatan pengubahan wang haram untuk kepentingan peribadi termasuk menerima, memiliki, mengubah, memindah, dan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek berusia lingkungan 30-an terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 29 Julai ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).