IPX perkasa batik, lonjak nilai harta intelek

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Industri batik tempatan terus diperkasa apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan Program IP Accelerator (IPX) – Evolusi Batik: Memelihara Tradisi, Memperkasa Nilai, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkasa pengurusan harta intelek untuk pengusaha batik muda bagi mengukuhkan penjenamaan dan meluaskan akses ke pasaran domestik serta antarabangsa.
  • Pengurusan harta intelek meningkatkan nilai produk, mengukuhkan identiti jenama dan membuka peluang pengembangan pasaran.
  • Galakan pemanfaatan teknologi digital termasuk AI untuk pembangunan produk dan pemasaran tanpa menjejaskan keaslian Batik Malaysia.

Inisiatif ini memfokuskan kepada pemerkasaan pengurusan harta intelek dalam kalangan pengusaha batik muda bagi memperkukuh penjenamaan serta meluaskan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada pengusaha batik, artisan, pereka fesyen, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta wakil agensi kerajaan.

“Seramai 100 pengusaha batik muda dipilih menyertai Klinik Pengurusan Harta Intelek hasil kerjasama strategik antara MyIPO dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO),” katanya pada majlis pelancaran program itu, di sini, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan IPX selaras dengan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh sektor ekonomi kreatif yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.

“Sejajar sumbangan sektor ekonomi kreatif yang mencecah 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau sekitar RM130 bilion berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Pengurusan harta intelek bukan sekadar melindungi hasil ciptaan daripada penyalahgunaan, malah berperanan meningkatkan nilai produk, mengukuhkan identiti jenama serta membuka peluang pengembangan pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, pengurusan harta intelek yang sistematik dan berkesan dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh kedudukan industri batik tempatan, khususnya dalam era ekonomi digital yang semakin kompetitif.

Dalam masa sama, pengusaha batik digesa memanfaatkan teknologi digital termasuk Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkasa pembangunan produk dan strategi pemasaran, tanpa menjejaskan keaslian serta identiti Batik Malaysia sebagai warisan negara.

Langkah itu selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi penekanan kepada inovasi, pengkomersialan harta intelek dan pembangunan ekonomi kreatif bagi mengangkat produk tempatan ke pentas global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.