fb fb fb fb fb

KWSP terima 2.86 juta permohonan pindahan amaun ke Akaun Fleksibel

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima 2.86 juta permohonan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel setakat 22 Mei lepas.

Permohonan pemindahan daripada Akaun Sejahtera itu melibatkan amaun berjumlah RM8.78 bilion.

Sementara itu, 3.04 juta permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel telah diluluskan berjumlah RM5.52 bilion.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin menerusi satu kenyataan menjangkakan, jumlah permohonan untuk pemindahan akan terus meningkat sehingga tarikh tutup 31 Ogos ini.

Permohonan melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun turut menunjukkan peningkatan ketara.

Ini mencerminkan usaha pengurus dana persaraan itu dalam meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna.

Dalam pada itu, ahli dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat pemindahan, berikutan tarikh tutup bagi pilihan tersebut akan berakhir dalam tempoh tiga bulan.

Ahli yang masih belum mendaftar dengan KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE