
SELANGOR, 28 Februari – Keahlian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pertumbuhan luar biasa kepada 18.1 juta, disokong oleh penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara Malaysia.
- Pertumbuhan ahli KWSP kepada 18.1 juta, disokong penyertaan tenaga kerja lebih meluas termasuk bukan warganegara.
- Jumlah caruman meningkat 12.3% kepada RM121.5 bilion, dipacu pertambahan keahlian dan pertumbuhan gaji.
- Caruman sukarela dan program i-Saraan serta i-Topup menunjukkan peningkatan ketara, memperluas tabungan untuk golongan tidak formal.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, bilangan ahli aktif meningkat kepada 10.6 juta, sekali gus menambah baik nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41.
”Pendaftaran baharu kekal kukuh dengan 2.8 juta ahli baharu dan 89,649 majikan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif sebanyak 640,391,” katanya pada sidang media pengumuman kadar dividen KWSP 2025 hari ini.
Sementara itu, jumlah caruman keseluruhan meningkat 12.3 peratus kepada RM121.5 bilion, disokong oleh pertambahan keahlian, pertumbuhan gaji dan keyakinan yang berterusan terhadap KWSP.
Caruman sukarela terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM19.2 bilion tahun lalu.
”Kami juga menyaksikan pertumbuhan caruman sukarela, khususnya bagi mereka yang tidak berada dalam sektor formal, meningkat kepada 924,000, hampir mencecah sejuta.
”Kami amat berpuas hati dengan angka ini, menunjukkan bahawa program capaian kami telah mendapat sambutan baik dan segmen masyarakat yang signifikan kini mula menabung untuk masa depan mereka sendiri,” katanya.
Program i-Saraan merupakan pemacu utama kepada peningkatan caruman sukarela, dengan jumlah penerima insentif meningkat 35.9 peratus kepada 720,056 manakala jumlah caruman meningkat 50.8 peratus kepada RM4.0 bilion.
Bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 26.0 peratus kepada 229,901.