fb fb fb fb fb

KWAP sasar kembangkan saiz dana RM200 bilion menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berupaya mengembangkan saiz dana kasar sebanyak RM200 bilion menjelang 2025 menerusi inisiatif TERAS 5.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif tersebut dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan KWAP dalam membentuk ekosistem persaraan yang lebih dinamik.

Program tiga tahun tersebut berasaskan lima tunggak utama iaitu struktur, tadbir urus, modal insan, proses dan digital.


(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

"Melalui TERAS 5, Kementerian Kewangan yakin KWAP akan dapat mencapai sasarannya untuk mengembangkan saiz dana secara mampan dengan jumlah dana kasar sebanyak RM200 bilion dan meningkatkan jumlah aset harta daripada 17 kepada lebih 30 serta lebih 35 subsidiari dan ini sasaran menjelang 2025 ... Insya Allah", katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi KWAP di sini.

Tambahnya, KWAP telah berkembang maju dan berjaya meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai 41.9 bilion pada 2007 kepada sekitar RM159 bilion setakat ini.

Katanya, sebagai pemain dan pelabur utama, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merupakan tunjang penting kepada asas ekonomi Malaysia dan menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus pasaran Bursa Malaysia serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 500,000 Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed berkata, KWAP menyasarkan untuk mencapai pulangan pelaburan sebanyak tujuh peratus menjelang 2025, berbanding enamĀ peratus ketika ini.

Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya akan memberi tumpuan kepada pelaburan infrastruktur, hartanah dan ekuiti swasta pada masa hadapan.

Bercakap pada Majlis Pelancaran TERASĀ 5 jelasnya, inisiatif yang baru dilancarkan itu akan turut menyokong usaha KWAP dalam mencapai sasaran berkenaan.

"Kami melihat pulangan daripada pasaran awam kini tidak berada dalam trajektori meningkat, sebaliknya pasaran persendirian mencatatkan pertumbuhan dua angka", katanya.

Melangkah ke hadapan, KWAP akan turut menyediakan perkhidmatan lebih lancar bagi golongan pesara, dengan memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MyPesara. Setakat ini, aplikasi berkenaan telah meraih 200 ribu muat turun.

TERAS 5 merupakan sebahagian daripada pelan dasar jangka panjang bagi menambah saiz dana dengan lebih berkesan dan kekal mampan yang melibatkan pemerkasaan lima pemboleh utama iaitu struktur, tadbir urus, modal insan, proses dan digital.

Media Baharu