PONTIAN, 3 Ogos - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir yang menempatkan 22 penduduk terjejas daripada enam keluarga di Sekolah Kebangsaan Seri Bukit Panjang, di sini semalam, ditutup pada pukul 2.00 petang tadi.
Ia selepas banjir melibatkan beberapa buah rumah di Kampung Seri Bukit Panjang mula surut dan kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan.
Hujan berterusan melebihiĀ dua jam sejak pukul 4.30 petang semalam menyebabkan PPS tersebut dibuka pada pukul 8.00 malam.
Tinjauan Berita RTM di lokasi mendapati penduduk giat menjalankan proses pembersihan di rumah masing-masing selain berkongsi mengenai kejadian semalam.
(Banjir sudah mula surut dan anggota JPAM membantu membersihkan
rumah penduduk yang terjejas)
"Pakcik pergi kerja dulu, pakcik jalan dalam masa setengah jam, orang rumah pakcik telefon pakcik cakap air dah masuk rumah, dia cakap sekejap sangat, itu yang pakcik balik semula, angkat barang apa yang patut kan, tengok memang air tu memang laju lah masuk dalam rumah," kata penduduk, Amran Khamis.
"Sebab banjir nya pun tak lah besar sangat kan masa kita pindah, lepas tu jiran tolong angkat barang semua, JPAM pun datang tengok dia kata macam ini kena pindah kan, jadi kita pun dalam pukul 6 tu kita pun kemas-kemas lah," menurut penduduk, Intan Khamis.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pontian, Muhamad Solehin Che Mat bagaimana pun mengingatkan penduduk supaya bersedia untuk dipindahkan sekiranya banjir berulang.
"Kebiasaan di Pontian ini kalau hujan melebihi 2 jam kemungkinan akan berlaku banjir kilat lah kalau di daerah Pontian, buat masa ini Alhamdulillah lah, apabila arahan dikeluarkan untuk berpindah mereka berpindah ke pusat pemindahan," kata beliau.
Selain Angkatan Pertahanan Awam, turut terlibat semasa banjir semalam adalah Pejabat Daerah Pontian, polis, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.