fb fb fb fb fb

Kutipan zakat harta di Pahang melebihi sasaran

KUANTAN, 25 Januari - Sebanyak RM178 juta berjaya diperoleh menerusi kutipan zakat harta oleh Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM170 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata kutipan tersebut meningkat berbanding RM158.2 juta pada 2020.

Berdasarkan rekod tahun lalu bilangan pembayar turut mencatat peningkatan.

"Kutipan pada tahun 2021 juga telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM170 juta. Kategori tertinggi zakat harta adalah daripada zakat pendapatan berjumlah RM86.6 juta daripada 75,710 pembayar.

"Kategori kedua terbesar pembayar zakat harta adalah daripada zakat perniagaan yang meliputi perniagaan kecil sehingga badan-badan korporat," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Anugerah Zakat di sini yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis itu, 12 badan korporat menyerahkan zakat perniagaan dengan nilai keseluruhan melebihi RM19.3 juta.

Baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah Zakat Kebangsaan kepada lapan penerima dan Anugerah Wakalah Sekolah 2021 membabitkan 17 buah sekolah dari seluruh Pahang.

Tambah Ahmad, pada tahun lalu sebanyak RM177.4 juta bantuan zakat telah diagihkan kepada 173,000 orang asnaf yang layak.

Daripada jumlah itu, golongan Asnaf Fakir Miskin menjadi penerima terbesar dengan jumlah RM75 juta melibatkan 126,000 penerima.

Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tahun lalu, MUIP turut memperuntukkan RM15.3 juta kepada 58,135 penerima yang terkesan ekonomi.

Selain peruntukan RM9 juta kepada penduduk yang terkesan dengan musibah banjir besar akhir tahun lalu.

Media Baharu