fb fb fb fb fb

Kerajaan pertimbang longgarkan lagi SOP-PM

PUTRAJAYA, 25 Januari - Kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya proses vaksinasi COVID-19 termasuk dos penggalak selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita lihat bahawa jika rakyat kita telah pun diberikan 'booster' mungkin kita boleh 'relax' sikit daripada segi SOP. Kementerian kesihatan perlu memberikan pandangan mengenai perkara ini dan kita percaya apabila kita membuka negara kita, keadaan ekonomi akan bertambah baik," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.

Ismail Sabri juga mengakui sekiranya SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

"Walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih belum dibenarkan masuk ke negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan," katanya.

Tambah beliau, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

Ketika ini, kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19.

Media Baharu