KOTA BHARU, 25 Januari - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersama kerajaan Kelantan komited untuk segera menyelesaikan isu-isu berbangkit dalam kawasan wilayah operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Ini terutama melibatkan urusan penyediaan tanah kepada peserta projek pembangunan serta pertanian.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama sedia ada dalam jawatankuasa yang dibentuk kedua-dua pihak sebelum ini akan dipertingkat.
"Usaha ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan nasib peserta terbela.
"Keutamaan akan diberikan kepada usaha menyegerakan pemilikan tanah kepada peserta dalam wilayah operasi KESEDAR yang telah sekian lama menanti," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim, di sini.