fb fb fb fb fb

Ancaman harimau belang, kehadiran Senoi Praaq legakan penduduk Orang Asli

GUA MUSANG, 25 Januari - Kehadiran anggota Senoi Praaq dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak mengawal keselamatan penduduk di Pos Bihai dan Pos Balar di sini mengurangkan kebimbangan masyarakat Orang Asli yang terancam ekoran serangan harimau belang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata seramai 21 anggota Senoi Praaq menyertai operasi khas pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak seminggu lalu.

Selain mengiringi anggota perhilitan, mereka turut mengiringi penduduk Orang Asli untuk ke kebun bagi mengambil hasil tanaman.

"Operasi dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu A,B,C,D dan setiap sektor tersebut ada anggota perhilitan dan juga PGA Bidor.

"Anggota perhilitan dan PGA sentiasa mengiringi penduduk kampung yang hendak ke kebun mengambil hasil tanaman di samping tugasan rutin membuat rondaan bagi mengesan kehadiran harimau di kawasan operasi," katanya selepas meninjau keadaan di Kampung Sau, Pos Bihai serta menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 30 keluarga Orang Asli di kampung itu.

Bagi Penghulu Kampung Sau, Alak Asu kawalan keselamatan itu begitu melegakan penduduk Orang Asli.

"Kepada pihak yang menghantar bakul makanan pula terima kasih kepada semua terutama kepada JAKOA," katanya.

Sebelum ini, pada 7 Januari seorang lelaki Orang Asli, Anek Along, 59, ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai.

Kejadian berlaku ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu.

Manakala, harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram yang menyerang mangsa berjaya ditembak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Media Baharu