KUALA LUMPUR, 18 Mei - Semua agensi bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diseru memperkasa operasi perbankan digital masing-masing khususnya melibatkan bidang kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan berkata ia bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa penggunaan sistem AI dalam negara diperluas.
"Jadi kalau kita tidak memajukan diri kita, tidak mengambil peluang ini kita akan ketinggalan sebab negara negara lain pun dia orang sudah mengarah ke dunia digital, jadi kalau kita tidak mengambil kesempatan dan masa ini untuk tambah baik diri kita masuk ke bank digital, sekali gus kita tidak akan ketinggalan," kata R Ramanan.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2024 Bank Rakyat, di sini.
Antara agensi lain bawah seliaan kementerian itu termasuk SME Bank, TEKUN Nasional, Institut Koperasi Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Seramai 902 perwakilan Bank Rakyat seluruh negara hadir ke mesyuarat itu bagi memberi idea untuk membawa institusi perbankan itu ke peringkat seterusnya.
"Kalau kita tengok perwakilan ini adalah sebagai “tulang belakang” kepada Bank Rakyat yang akan membawa bank ini ke tahap lebih tinggi. Saya amat bangga dengan pengurusan Bank Rakyat ini," katanya.
Menjelang 70 tahun penubuhan, bank rakyat terus utuh dan relevan sebagai bank pilihan diseluruh peringkat komuniti tidak kira di bandar mahupun luar bandar dengan keanggotaan merangkumi lebih 800,000 individu dan lebih 2,000 koperasi di seluruh negara.