PUTRAJAYA, 31 Mac- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya SME Corp akan melancarkan satu lagi skim baharu pada 6 Mei ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata pelbagai inisiatif membantu usahawan dari Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dari masa ke masa supaya mereka tidak berasa ketinggalan.
KUSKOP telah melancarkan beberapa skim sebelum ini seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dengan peruntukan RM5 juta untuk membantu usahawan pasar tamu di Sabah dan Sarawak .
"Ini merupakan pendekatan kita selepas kita berlibat urus dengan usahawan, koperasi, pemegang taruh di Sabah dan Sarawak. Ada keperluan untuk kita memperkenalkan skim-skim khas untuk Sabah dan Sarawak kerana mereka berhadapan dengan cabaran yang unik, berbeza berbanding dengan usahawan-usahawan di Semenanjung.
"Contohnya dari segi logistik, hebahan maklumat infrastruktur perniagaan, kemudahan dan capaian internet," kata Ewon selepas menyampaikan sumbangan kepada 20 anak yatim, asnaf dan guru dari Pertubuhan Warisan Suci di majlis berbuka puasa KUSKOP, disini.
(Datuk Ewon berkata KUSKOP lancar skim baharu pada 6 Mei)