fb fb fb fb fb

KUSKOP komited perkasa bidang teknologi dan pendigitalan untuk koperasi

KUALA LUMPUR, 23 Disember- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk meneruskan agenda transformasi koperasi melalui pelaksanaan kepelbagaian dasar dan pelan tindakan yang akan diperkasakan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedict berkata, kerjasama rentas kementerian juga akan terus dipergiat bagi memastikan penggunaan sumber dapat dioptimumkan dengan mengambil kira keterlibatan koperasi sebagai entiti perniagaan terutamanya dalam bidang teknologi dan pendigitalan.


(Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Datuk Ewon Benedict bersama Naib Pengerusi Eksekutif SKM
(Dasar dan Pembangunan) Datuk Umar Sarim Haji Saidin dan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah)

Menurut beliau, inisiatif memperkasakan bidang teknologi dilihat selari dengan halatuju Pelan Pendigitalan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi usaha merapatkan lagi jurang digital dalam kalangan koperasi di seluruh negara.

Datuk Ewon berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pelancaran Aplikasi Taptaplah yang dibangunkan oleh Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad di Kuala Lumpur pada 22 Disember 2022.

Antara yang hadir di majlis tersebut ialah Naib Pengerusi Eksekutif SKM (Dasar dan Pembangunan) iaitu Datuk Umar Sarim Haji Saidin, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Anggota Lembaga ANGKASA, Dato' Haji Che Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato' Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Abdul Razak Hussain dan Pengerusi Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Taptaplah merupakan sebuah aplikasi digital yang akan membantu koperasi menceburi dunia digital dan meningkatkan kecekapan pengurusan koperasi. Antara perkhidmatan yang disediakan melalui platform tersebut adalah seperti pendaftaran keahlian, e-dompet, pembiayaan peribadi, pembelian, pendanaan, artikel dan berita, insuran, bayaran bil, e-tiket dan vendor.

Media Baharu