KUSKOP, KDN perketat penguatkuasaan salah guna visa lawatan sosial

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 15 Januari – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan visa lawatan sosial dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama rapat KUSKOP dan KDN serta agensi berkaitan untuk penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan visa lawatan sosial.
  • Tindakan tegas dan pemantauan diperkukuh terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran yang sah.
  • Perlindungan PMKS dan peniaga kecil tempatan bagi mengekalkan ekosistem keusahawanan yang teratur dan berdaya saing.

Menteri KUSKOP, Steven Sim berkata, beliau akan bekerjasama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil secara menyeluruh.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga kecil tempatan, di samping memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing.

“Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negara ini, namun undang-undang serta peraturan negara mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Steven, kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan supaya mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas, termasuk memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran yang sah.

Beliau memaklumkan isu berkenaan turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan peningkatan aduan daripada peniaga tempatan yang terjejas akibat penyalahgunaan visa lawatan sosial.