fb fb fb fb fb

Kursus sedia ada di UA masih relevan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Kebanyakan kursus sedia ada di Universiti Awam (UA) masih relevan dan mampu disesuaikan dengan keperluan industri semasa, termasuk bidang Kecerdasan Buatan (AI), tegas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun di Dewan Rakyat, beliau berkata, kementerian tidak bercadang untuk menamatkan kursus sedia ada semata-mata kerana kemunculan bidang baru seperti AI, sebaliknya akan memperkukuh pendekatan pelbagai disiplin dalam pendidikan tinggi.

"Kita perlu ingat bahawa ada kursus-kursus tertentu yang tetap relevan dalam konteks ini. Sebagai contoh, apabila kita bercakap tentang kursus AI, seolah-olah semuanya memikirkan bahawa perlu ada Fakulti Kecerdasan Buatan. Tidak. Sebab ada kursus-kursus dalam dunia AI ini yang bersifat pelbagai disiplin," katanya.

Jelas beliau, memandangkan dunia AI tidak boleh dipisahkan daripada ilmu sosial, kemanusiaan dan sains lain, pendekatan holistik dan integratif perlu dikekalkan bagi memastikan graduan bersedia berdepan dengan permintaan pasaran kerja yang semakin kompleks.

"Hari ini apabila kita bercakap tentang disiplin AI itu, ia mesti juga melibatkan hal-hal yang berkaitan antara disiplin sains sosial yang lain," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pelbagai kementerian dengan agensi dalam memastikan penawaran kursus di universiti kekal sepadan dengan keperluan pasaran, khususnya melibatkan industri strategik seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), serta sektor berintensif teknologi tinggi yang dibawa masuk melalui Pelaburan Langsung Asing (FDI).

MASNIZA AWANG KECHIK