SHAH ALAM, 4 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor memberi tumpuan kepada lapan fokus utama menerusi Kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Negeri Selangor, sebagai agenda pembaharuan perkhidmatan awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut digerakkan melalui langkah strategik yang menyeluruh, merangkumi penambahbaikan sistem, pemantapan struktur dan pemerkasaan peranan di semua peringkat.
''Yang mana ada lapan perkara penting yang akan kita tumpukan di dalam fokus kita, selain daripada matlamat nilai 8 komponen tersebut iaitu tadbir urus integriti, reformasi penyampaian, pemecahan budaya silo, reformasi aduan, modal insan berdaya iaitu meningkatkan kemahiran ikhtisas dan juga kemahiran tertentu di kalangan penjawat awam, pemerkasaaan akar umbi, mengukuhkan agensi sampai di peringkat daerah, pengukuhan pemantauan program dan seterusnya penilaian berdasarkan hasil dan ini akan mula diperkenalkan setelah reformasi ini lengkap lapan langkah yang dibuat.
"Penumpuan yang kita buat sudah pasti pada penyampaian supaya ia dapat hasil yang lebih cepat, pantas tapi masih mengikut tatakelola yang sewajarnya,"
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Tekad RSTU Selangor dan Perhimpunan Penjawat Awam serta perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Amirudin turut menekankan keperluan menjadikan prinsip islah iaitu usaha membaiki dan menambah baik sistem sedia ada, sebagai asas dalam perkhidmatan kerajaan, demi memperkukuh keyakinan rakyat.