KULIM, 7 Oktober- Pusat Latihan Pasca Siswazah akan berkolaborasi dengan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menawarkan pelbagai kursus dan latihan berkaitan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi menampung pasaran kerja dalam kepakaran tertentu berkaitan industri.
Terdapat enam buah universiti di negara ini yang menawarkan kursus berkenaan termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
"Kita juga akan memperincikan tentang pusat latihan pascasiswazah dan keutamaan terhadap industri yang menunjukkan kerjasama profesional dengan universiti berdekatan, terutamanya dalam lingkungan radius 30 kilometer.
"Namun, kita juga akan menjalin kerjasama dengan universiti MTUN yang menawarkan kursus bersesuaian dengan kehendak industri," katanya selepas mengadakan Lawatan ke Kulim High Tech Park (KHTP) di sini.
Dalam sidang media sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata satu jawatankuasa tetap akan diwujudkan bagi mengkoordinasikan keperluan guna tenaga yang berkemahiran untuk memenuhi perkerjaan bagi sektor setiap industri di KHTP.
Kursus-kursus yang ditawarkan oleh institusi TVET berkenaan adalah selaras dengan bidang berkaitan indusri.
Sehingga 2030, KHTP memerlukan lebih 20,000 pekerja dalam kemahiran tertentu.