fb fb fb fb fb

Kupang beracun di Port Dickson, keputusan analisis makmal diketahui esok

Keputusan analisis makmal sama ada terdapat kehadiran alga berbahaya terhadap kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan dijangka diketahui esok/ Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 3 April - Keputusan analisis makmal sama ada terdapat kehadiran alga berbahaya terhadap kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan dijangka diketahui esok.

Jabatan Perikanan (DOF) memaklumkan, pihaknya masih menjalankan analisis makmal terhadap kupang di perairan berkenaan.

“DOF sebelum ini telah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan larangan sementara bagi menjual dan mengeluarkan kupang ternakan sama ada melalui sistem panggar atau pancang,” menurut DOF menerusi kenyataan.

DOF sentiasa melaksanakan pemantauan keselamatan kerang-kerangan di Malaysia secara berjadual.

Pemantauan dilakukan di bawah Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP) yang melibatkan sampel kerang-kerangan ternakan dan liar.

“Orang ramai juga diminta melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri atau Daerah yang berdekatan jika melihat perubahan warna air laut yang mencurigakan,” menurut DOF.

Sebelum ini, DOF Negeri Sembilan dilapor telah mengambil sampel kupang dan air di perairan Port Dickson susulan dakwaan berlaku kes keracunan makanan akibat makanan laut itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN