fb fb fb fb fb

Kuota satu peratus OKU dalam MySTEP kekal, Bajet 2023 untuk rujukan

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Kuota satu peratus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) yang diperuntukkan dalam inisiatif MySTEP adalah kekal walaupun perkara itu tidak disebut semasa pembentangan Bajet 2023 Jumaat lepas.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, Bajet 2023 masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen yang akan bersidang semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, pencerahan perlu diberi terhadap beberapa perkara yang kurang jelas atau telah disalah tafsir berhubung Bajet 2023.

"Kuota satu peratus untuk OKU sememangnya telah diperuntukkan dalam inisiatif MySTEP yang bakal menyediakan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak, namun perkara ini tidak disebut semasa pembentangan kerana kebanyakan langkah utama Bajet 2023 disampaikan secara am bagi mematuhi had masa yang ditetapkan," menurut MOF dalam satu kenyataan.

(Foto fail)

MOF memaklumkan gaji MySTEP juga dicadangkan untuk dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100. 

Selain itu, kerajaan juga akan terus memperkasa OKU menerusi pelbagai langkah termasuk bantuan tunai langsung, bantuan mobiliti, pembinaan taska khas OKU dan penambahbaikan fasiliti mengajar di sekolah OKU.

Media sebelum ini melaporkan terdapat pihak yang meminta kerajaan melihat semula sistem kuota bagi program MySTEP memandangkan kuota khas bagi OKU tidak diumumkan seperti dalam Bajet 2022.

Sementara itu MOF menyatakan pembentangan Bajet 2023 penting sebagai rujukan dasar oleh sektor perniagaan dan pelaburan, serta perancangan oleh rakyat dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Bajet 2023 juga sebagai rujukan dasar kepada sektor perniagaan dan pelaburan untuk merancang langkah seterusnya berdasarkan kandungan Bajet 2023, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara.

Media Baharu