fb fb fb fb fb

Pelajar digalak kuasai dan terokai teknologi AI dan robotik

Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin

KANGAR, 24 September- Pemahaman dan penguasaan terhadap teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik kini menjadi suatu keperluan ditambah dalam dunia serba canggih dan moden.

Penubuhan Kelab AI Robotic Education (AiRED) daripada Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) mampu memastikan pelajar di Perlis turut tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi.

Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dalam kenyataan berkata, bagi melahirkan generasi muda yang celik teknologi serta bersedia menghadapi cabaran dunia digital dan automasi, seramai 160 pelajar Tingkatan 2 terpilih menyertai Bengkel Modul ‘AI & Robotic Educational Club (AiREd).

Bengkel melibatkan lapan buah sekolah menengah menjadi perintis penubuhan Kelab AiRED melibatkan SMK Derma, SMK Tuanku Lailatul Shahreen, SMKA (P) Alawiyah Kangar, SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SMK Tengku Suleiman, SMK Syed Sirajuddin, SMK Agama Arau dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah.

Bengkel turut disertai 76 guru, tenaga pengajar dari UniMAP serta pembina modul latihan daripada UniMAP dan Jabatan Pendidikan Negeri.

"Menerusi bengkel ini, para pelajar dapat menguasai empat komponen utama modul AiRED iaitu Pengenalan kepada AI & Robotik, Pengaturcaraan Python, Interaksi AI, dan juga Pembangunan Aplikasi yang dimuatkan dalam satu modul utama yang bertajuk Junior Innovators: Let’s Explore AI! hasil gabungan kepakaran pensyarah UniMAP dan guru sekolah serta pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Perlis," kata Dr Kamarudin.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Perasmian AiRED di sini, yang berlangsung selama tiga hari hingga esok.

Pelaksanaan bengkel ini akan membantu membentuk bakat tempatan yang berpotensi tinggi, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang dipacu teknologi.

TETITIA YUSOFF