fb fb fb fb fb

Malaysia terus sokong UNRWA

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan

NEW YORK, 24 September - Malaysia mengulangi pendirian tegas menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang bertindak sebagai kerajaan de facto kepada Palestin.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, terdapat usaha berterusan daripada pihak tertentu untuk menghapuskan UNRWA.

Jelasnya, langkah itu akan membawa kesan buruk kepada rakyat Palestin terutama dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

"Ada usaha untuk memastikan supaya UNRWA ini dihapuskan, kerana mereka tidak mahu melihat UNRWA sentiasa berusaha dan juga menjadi sebagai tulang belakang kerajaan De facto kepada Palestine. Ini amat dikesali kerana usaha ini merupakan usaha untuk memusnahkan Palestin." katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas bertemu dengan Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan UNRWA terus berfungsi seperti yang ditetapkan sejak awal penubuhannya, demi kelangsungan generasi muda Palestin yang terkesan dengan konflik berpanjangan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Mohamad turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Kurt M Campbell bagi membincangkan situasi terkini di Gaza.

Beliau juga menyambut baik usaha Amerika Syarikat untuk mencapai gencatan senjata di Gaza walaupun mengakui cabaran besar dalam merealisasikannya.

Trainee