KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Kerajaan bersetuju membuka semula permohonan kuota pekerja asing, namun terhad kepada sektor dan subsektor tertentu sahaja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi tiga sektor utama iaitu pertanian, perladangan dan perlombongan serta 10 subsektor terpilih kini dibuka hingga 31 Disember ini.
Bagi tiga sektor utama tersebut, permohonan dibenarkan meliputi semua subsektor di bawahnya.
Bagi sektor perkhidmatan, subsektor yang dibenarkan ialah borong runcit, gudang darat, pengawal keselamatan, barang logam dan lusuh, restoran, dobi, kargo serta pembersihan bangunan.
"Itu bermaksud kita setuju benarkan penggajian pekerja asing permohonan kuato ni kita buat 'case by case', tiga sektor dan 10 subsektor dan angka permohonan itu akan dicadang oleh agensi kawal selia.
"Bermaksud agensi kawal selia tu yang akan mengangkat permohonan kepada jawatankuasa ini untuk jawatankuasa teknikal dulu.
"Kita ada satu jawatankuasa teknikal pengurusan pekerja asing yang dianggotai oleh semua agensi kawal selia di peringkat timbalan ketua setiausaha" katanya.
Datuk Seri Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-14, Bilangan 2 Tahun 2025, yang dipengerusikan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Katanya, permohonan kali ini terhad kepada agensi berkaitan sektor berkenaan, berbanding sebelum ini yang membenarkan ejen dan majikan memohon secara bebas.
Beliau berkata proses kelulusan akan melalui tapisan Jawatankuasa Teknikal Pekerja Asing sebelum dimuktamadkan di peringkat Jawatankuasa Bersama.
Mengenai dasar pekerja asing, mesyuarat turut bersetuju mengekalkan siling sektoral sedia ada sebanyak 2,467,756 orang hingga 31 Disember ini sebelum beralih kepada had baharu 10 peratus seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Angka itu meliputi sektor perkilangan,pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah asing, pelombongan dan kuari.
“Pada masa ini, kadar keberadaan pekerja asing ialah 15 peratus, namun RMK13 menetapkan siling baharu pada paras 10 peratus.
“Had 15 peratus ini kekal hingga hujung tahun, manakala siling baharu akan dimuktamadkan pada suku pertama atau kedua 2026,” katanya lagi.