KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) terus memperkukuh pembangunan infrastruktur mobiliti lestari menerusi inisiatif pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EVCS) di lebuh raya bertol seluruh negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia selaras komitmen kerajaan untuk mencapai status Negara Sifar Bersih Karbon menjelang 2050.
Inisiatif itu sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Hala Tuju Teknologi Hijau Malaysia (GTMP) dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) yang menyasarkan penggunaan kenderaan mesra alam secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Jadi, objektif utama program ini adalah untuk membina satu rangkaian infrastruktur pengecasan yang strategik dan efisien, bagi menyokong penggunaan kenderaan yang lebih lestari selain menyumbang secara langsung kepada agenda mobiliti rendah karbon dengan menurunkan kadar pelepasan karbon dioksida daripada sektor pengangkutan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kementeriannya di Dewan Rakyat di sini.
Sehingga tahun 2025, KKR telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pembinaan 30 unit pengecas baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 112 pengecas kenderaan elektrik yang akan beroperasi di seluruh jajaran lebuh raya bertol di Malaysia.
Langkah tersebut sejajar dengan matlamat negara untuk membina ekosistem mobiliti rendah karbon yang mampan, pintar dan mesra alam demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.