fb fb fb fb fb

Pokok tumbang hempap kereta, tiga sekeluarga terselamat

Foto JBPM Perak

IPOH, 19 Ogos -Sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia 10 bulan terselamat ketika kereta yang dinaiki dihempap sebatang pokok yang tumbang ketika melalui jalan Ipoh–Lumut dekat Seri Iskandar, petang tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 6.00 petang dan sepasukan 17 anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah kereta yang sedang melalui jalan utama Ipoh–Lumut telah ditimpa sebatang pokok besar dan mengenai bahagian tengah kereta.

"Terdapat seorang pemandu lelaki dewasa di bahagian tempat duduk pemandu dan seorang wanita dewasa berada di tempat duduk belakang terperangkap di dalam kereta, bayi mereka pula diselamatkan oleh orang awam terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan.

Anggota bomba melakukan pemotongan dahan dan batang pokok yang menimpa kenderaan itu menggunakan gergaji rantai dan peralatan khas Rescue Cutter untuk mengeluarkan suami isteri yang masing-masing berusia 37 dan 31 tahun itu.

Shazlean berkata kedua-dua mangsa terbabit tidak mengalami kecederaan, namun dihantar ke hospital menggunakan ambulans selepas mengadu sakit pada bahagian kaki.

"Bayi mangsa telah diserahkan kepada keluarganya yang berada di lokasi kejadian," katanya.

TETITIA YUSOFF