Kuota BUDI95 diselaras sementara kepada 200 liter sebulan mulai 1 April – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perutusan khas hari ini

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) akan diselaraskan sementara daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.
  • Langkah bersifat sementara menunggu pemulihan bekalan minyak dan keadaan ekonomi dunia pulih.
  • Had siling RON95 untuk pemandu e-hailing dan pekerja gig dikekalkan pada 800 liter sebulan.
  • Subsidi diesel RM2.15 untuk Sabah dan Sarawak dikekalkan; had pengisian per pembelian: ringan 50L, <=3 tan 100L, >3 tan 150L.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga RON95 bersubsidi masih kekal pada RM1.99 seliter.

“Kita meneliti penggunaan BUDI95 dan mendapati purata penggunaannya sekitar 100 liter sebulan. Ini bermakna majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, jadi tidak terjejas.

“Langkah ini bersifat sementara menunggu bekalan minyak dan keadaan ekonomi dunia pulih,” jelas beliau pada perutusan khas hari ini.

Beliau turut memaklumkan had siling bagi e-hailing dan pekerja gig bagi RON95 iaitu sehingga 800 liter sebulan dikekalkan.

“Kita kekalkan had siling sehingga 800 liter mengambil kira tanggungjawab pekerjaan dan urusan harian mereka,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter bagi Sabah dan Sarawak juga dikekalkan walaupun harga bahan api meningkat.

“Memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah serta Sarawak, keputusan ini munasabah pada peringkat ini, namun ketirisan perlu dikekang,” jelas Perdana Menteri.

Pengisian diesel untuk sementara akan ditetapkan seperti berikut:

  • Kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan, dan persendirian maksimum 50 liter setiap pembelian.
  • Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi 3 tan maksimum 100 liter setiap pembelian.
  • Kenderaan melebihi 3 tan maksimum 150 liter setiap pembelian.

Datuk Seri Anwar menekankan langkah berkenaan bertujuan memastikan bekalan diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.

“Saya mohon rakyat memahami langkah sementara ini untuk menjaga kepentingan ramai. Pengertian dan kerjasama anda penting bagi mengelak ketirisan dan memastikan bekalan mencukupi,” katanya.