Pelarasan kuota petrol subsidi terima reaksi bercampur-campur

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan akan melaksanakan pelarasan kuota pembelian minyak bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter bagi setiap pengguna bermula 1 April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga subsidi bahan api dikekalkan, memberi sedikit kelegaan kepada pengguna menghadapi kos sara hidup.
  • Reaksi orang ramai bercampur-campur, bergantung kepada corak penggunaan masing-masing.
  • Beberapa pengguna menyatakan tidak terjejas; pengguna pengangkutan awam kurang terkesan.
  • Langkah dilihat sebagai usaha kawalan subsidi lebih bersasar untuk memastikan manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, harga subsidi bagi bahan api tersebut kekal seperti sedia ada, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pengguna dalam menghadapi kos sara hidup.

Tinjauan mendapati reaksi orang ramai terhadap langkah itu adalah pelbagai, bergantung kepada corak penggunaan masing-masing.

Seorang pekerja swasta, Faris Idris berpendapat pelarasan kuota tidak memberi kesan besar kepada pengguna tertentu.

“Bagi saya, ia bergantung pada orang. Ada yang guna lebih, ada yang kurang. Untuk saya, mungkin tidak melebihi had baharu, jadi masih okay kerana harga subsidi dikekalkan,” katanya.

Pengguna, Faris Idris

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Muhammad Syarif berpandangan langkah tersebut memberi sedikit kesan, namun wajar sebagai langkah sementara.

“Memang ada sedikit kesan, tetapi ini mungkin langkah sementara. Usaha mengekalkan subsidi itu bagi saya satu tindakan yang wajar,” ujarnya.

 

Pengguna, Muhammad Syarif

Seorang pengguna lain, Azalina pula berkata pengurangan kuota itu tidak menjejaskan sebahagian masyarakat selagi harga subsidi kekal.

“Pengurangan daripada 300 kepada 200 liter tidak memberi kesan besar kerana harga subsidi masih boleh dinikmati rakyat,” katanya.

Pengguna, Azalina

Bagi Fatin Hanisah, langkah itu mempunyai kelebihan dan kekurangan bergantung kepada keperluan pengguna.

“Bagi yang guna minyak banyak memang akan terasa. Tapi bagi saya yang lebih menggunakan pengangkutan awam, tidak begitu terkesan. Ia berbeza bagi setiap individu,” katanya.

Pengguna, Fatin Hanisah

Pelaksanaan dasar itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengawal penggunaan subsidi secara lebih bersasar, di samping memastikan manfaatnya terus dinikmati oleh golongan yang memerlukan.