fb fb fb fb fb

Kuih akok terus digemari pada bulan Ramadan

(Ahmad Shauki Othman bersama ibu mertuanya menunjukkan pelbagai jenis kuih akok yang dijual) 

BACHOK, 4 April - Setiap kali tibanya bulan Ramadan, kuih akok menjadi juadah wajib bagi masyarakat Kelantan untuk dijadikan pemanis mulut khususnya ketika berbuka puasa.

Seorang pemuda dari Kampung Gajah, Tawang, Bachok, Kelantan berani membuat pembaharuan dengan mempelbagaikan perisanya.

Pemuda berkenaan, Ahmad Shauki Othman, 36 tahun, selain menghasilkan akok biasa, turut menghasilkan akok perisa pandan, jagung dan coklat untuk dinikmati oleh penggemar kuih tradisional itu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersebut tidak kesal mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya dalam bidang pengajiannya di Kuala Lumpur dan mengambil keputusan pulang ke kampung untuk menjadi seorang pengusaha kuih akok.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu mendapat resepi dan meneruskan legasi perniagaan kuih akok dari ibu mertuanya, Samiah Hamid, 55 tahun yang sebelum ini telah mengusahakan kuih akok.


(Antara kuih akok yang dihasilkan oleh Ahmad Shauki Othman)

Untuk menghasilkan kuih akok yang enak, beliau menggunakan 500 biji telur dan 10 kilogram gandum dan adunan itu mampu menghasilkan sebanyak 2,000 biji kuih akok.

Dibantu ibu mertua dan isteri, Nur Ashikin Aziz, 30 tahun, Ahmad Shauki akan membuka gerainya di Jalan Padang Tembak bermula pukul 3 petang hingga 7 malam sepanjang bulan Ramadan ini.

"Selepas saya berumah tangga, ibu mertua saya merupakan pengusaha akok dan bahulu, masa itu keadaan pun tidak lah semaju mana, jadi saya dengan isteri saya cuba ambil alih warisan daripada ibu mertua saya, sekarang kami buat akok masa (bulan) puasa dalam 500 biji telur, 10 kilogram gandum, (dapat hasilkan) dekat 2,000 biji akok lah," kata beliau.

Akoknya dijual dengan harga RM3 ringgit untuk lima biji dan bagi lain-lain perasa RM3 untuk empat biji.

Beliau turut menghasilkan kuih akok dan bahulu apabila mendapat tempahan pada bulan biasa untuk dijadikan sebagai cenderahati.

Media Baharu