fb fb fb fb fb

Kubur pelatih PALAPES akan digali semula secepat mungkin – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 26 Ogos – Penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) universiti, Syamsul Haris Shamsudin, akan dibuat secepat mungkin sebaik sahaja menerima arahan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, proses itu akan dilaksanakan secara teliti dengan penglibatan majistret, pasukan perubatan serta ahli keluarga.

Katanya, langkah itu turut melibatkan pihak polis sekali gus mencerminkan komitmen tinggi pasukan keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa kompromi.

“Seperti kes adik Zara, polis komited melaksanakan keputusan mahkamah dengan segera. Prosesnya serius, melibatkan majistret, pasukan perubatan, keluarga, dan polis.

"Sebaik sahaja arahan diberikan oleh Peguam Negara, proses penggalian semula kubur akan dibuat secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur Allahyarham yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.

GRACE AISYAH KEDAYAN